Thursday, August 30, 2007


31 Ogos 2007,
Tarikh keramat,
Alhamdulillah, negaraku yang tercinta kini telah bebas merdeka selama setengah abad,
Pelbagai kejayaan telah dikecapi,
pelbagai rekod yang ditempa oleh anak bangsa,
pelagai cara telah dilakukan rakyat dalam memanifestasikan perasaan di hati,
pelbagai acara diadakan, bagi menyambut kehadiran hari yang membawa seribu makna ini,
"Malaysiaku Gemilang" temanya,
sungguh indah serta cukup bermakna jika dihayati sepenuhnya,
bangga dihati tidak terkira,
TETAPI
adakah pengisian erti merdeka itu sampai ke lubuk hati setiap rakyat?
terutamanya yang muda, pewaris negara?
merdekakah kita tatkala generasi muda terkinja-kinja kala mengira detik pukul 12 31Ogos?
merdekakah kita pabila tamat acara sambutan, kondom bersepah di serata padang?
merdekakah kita dengan konsert dari petang hingga ke pagi buta?
merdekakah kita dengan bingitan motosikal serta aksi 'akrobatiknya'membawa bendera negara?
adakah ini cara kita menyambut hari yang menjadi titik tolak perubahan negara?
adakah cara ini akan menjadikan kita gemilang seperti temanya?
sesungguhnya menyambut merdeka bukanlah dari cara kita menyambutnya,
tetapi erti merdeka perlu disemat dihati,
fahami erti merdeka yang sebenar,
kenang kesusahan dalam usaha mencapai kemerdekaan,
bersihkan fikiran dan minda,
teruskan usaha memartabatkan bangsa,
teruskan usaha tanpa mengenal erti lelah dan putus asa,
berikanlah sepenuhnya komitmen pada setiap bidang yang diceburi,
pelajar, pekerja, mahupun pemimpin,
kerna sesungguhnya mengisi dan mengekalkan kemerdekaan
menuntut sesuatu yang cukup besar,
agar jerih paya pemimpin terdahulu tidak disia-sia,
tiada guna kita merdeka seratus tahun pun,
jika minda kita masih dijajah,
jika bangsa kita masih tak berubah,
ayuh Malaysian!
isilah kemerdekaan ini dengan caranya,
bukan mengikut suka hati kita

Thursday, August 16, 2007


Focus on the front windscreen, not the rear mirror
-colin powell-



Satu frasa yang menarik dan patut kita fikirkan. Jika dibaca sekali ia hanya panduan kepada pemandu-pemandu. Tetapi sebenarnya kita boleh ambil frasa ini sebagai panduan kita dalam menjalani hidup yang sungguh mencabar ini. Dalam kata yang mudah, kita patut fokus pada apa yang bakal datang di hadapan, bukannya memandang masa lampau.

Tatkala kita menempuh liku-liku kehidupan, pelbagai situasi bakal kita hadapi, sedih, gembira,kecewa. Tetapi yang pasti hidup mesti terus. Lihatlah ke depan, fokus padanya. Bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Sesekali pandang ke belakang agar kesilapan lalu tidak diulangi. Percaya pada diri, terus melangkah hingga ke hujung perjalanan.

Saturday, July 14, 2007

takut gagal?

jangan gentar mengejar mimpi
yakin berani percaya diri
jagna takut jatuh ke bumi
bingkas bangun melangkah lagi
ke depan lari dan terbang menuju bintang
hanya kau saja bisa menentu arah hidupmu
(OAG-Generasiku)
kegagalan,
situasi yang sentiasa cuba dielakkan setiap insan,
pelajar, pemimpin, suami, isteri, anak, kekasih,
semua tidak kebal dari kegagalan,
mengapa semua mahu lari darinya?
apakah ia satu penyakit yang tiada vaksin penyembuh?
apakah ia merencatkan pancaindera dari terus menikmati halwa kehidupan?
apakah ia terlalu pahit hingga tiada ketemu pemanisnya?
hmmm, terlalu banyak persoalan mampu diajukan,
tetapi selaku insan yang amat jauh dari kesempurnaan,
mencari denai-denai mengelakkan kegagalan bukanlah perkara pokok,
tidak sesekali dinafikan denai sebegitu perlu ditebas tika menyelusuri rimba kehidupan,
namun rimba kehidupan yang dara sentiasa dipenuhi kejutan,
justeru menyediakan perisai diri bagi menangani kejutan yang tidak diingini yakni kegagalan adalah keperluan setiap insan,
biar apa pun halangan yang kunjung tiba,
kehidupan perlu diteruskan,
kerna noktah kehidupan adalah sakaratul maut,
jika usaha mengejar impian umpama mendaki bukit,
kegagalan adalah jatuhnya diri kita dari pendakian itu,
bila gunugnya lebih tinggi yakni impian yang besar,
maka pabila jatuh,cederanya lebih,
jangan putus harap,
jangan terus mengaduh,
jangan terus menangis,
rawatlah luka, kesatlah air mata,
bangun kembali, bertatih, berjalan dan berlari,
teruskan larian menuju pulau impian,
jika jatuh lagi,sakitnya sudah lali,
bangun lagi, teruskan perjalanan,
kegagalan umpama rencah yang melazatkan lagi kejayaan,
jangan takut pada kegagalan,
sesungguhnya kejayaan pasti menanti buat insan yang tiada kenal erti tewas pada kegagalan.


Tuesday, July 10, 2007

herzlich willkommen!

assalamualaikum,
kutitipkan salam pembuka bicara didada blog ini,
kebosanan yang menyelubungi diriku pada malam ini membuka pintu hatiku untuk menarikan jari jemariku di papan kekunci komputer,
tiada setitis idea yang berlegar diruang otak ku ketika ini,
namun hatiku terus memaksa otakku bergerak dan berfungsi waima otakku menentang,
kugagahkan jua agar kebosanan yang meruntun jiwaku dapat dirungkaikan,
mungkin coretan ini membuka satu lembaran baru dalam hidupku,
mungkin jua dapat memberi inspirasi pada insan lain yang membaca nukilan ku nanti,
siapa tahu?
aku hanya insan biasa,
bertatih, berjalan, kadang kala berlari di pentas dunia ciptaan Ilahi,
meneruskan perjuangan hidup hingga dijemput Izrail,
tidak sesekali mengetahui masa dan ketikanya,
tidak jua mengetahui apa yang akan berlaku pada diriku pada masa depan,
miskin kah aku? kaya kah aku? bahagia kah aku? apakah sengsara bakal menyelimutiku?
apakah hidup indah yang dikejar setiap manusia bukan lagi mainan tidur semata,
apakah segala jerih usaha tika ini bakal terbayar?
.....................................
tiada sekelumit jaminan dapat diungkapkan,
tiada kepastian yang dapat dizahirkan,
soalnya,
adakah ini satu noktah padaku dari mencoret ayat-ayat pejuangan dalam diari hidupku?
oh! tidak sama sekali,
perjuangan pasti diteruskan,
biar perit, biar sakit, biar jatuh, mahupun tersungkur,
pastinya setiap yang bermula akan berakhir,
andainya ditakdirkan ku tewas di medan ini,
biarlah penamatnya diliputi kebanggaan,
umpama tentera yang gugur syahid di peperangan,
mulai saat ini,
akan ku susun dan atur langkahku,
agar bahtera yang ku layari ini bakal dan terus gagah membelah ombak dan gelombang di samudera kehidupan yang tidak mampu diramalkan.